Sunday, June 25, 2017

PENGUMUMAN

KAMI TIDAK AKAN BEROPERASI DARI 28 JUN SEHINGGA 30 JUN 2017

Dasar Pengguna Negara

KENYATAAN DASAR
Dasar Pengguna Negara bertujuan menggalakkan keseimbangan hak dan tanggungjawab di kalangan dan di antara pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan dalam melaksanakan peranan masing-masing, menggalakkan penggunaan lestari (sustainable consumption) di kalangan pengguna dan pembekal/pengilang ke arah memelihara kedaulatan Negara serta prinsip Agama untuk mencapai Wawasan Negara dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan pengguna dalam era globalisasi.

Dasar Pengguna Negara memberi fokus terhadap usaha-usaha tiga pihak, iaitu melalui perlindungan kendiri (self-protection) di kalangan pembekal/pengilang dan penglibatan Kerajaan melalui peningkatan tahap perlindungan pengguna yang berkesan. Ini boleh dicapai dengan mewujudkan susasana yang harmoni untuk menggalakkan keseimbangan hak dan tanggungjawab di antara pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan dengan memantapkan bidang perundangan, amalan perdagangan, pendidikan, kesihatan, kemudahan awam dan lain-lain bidang yang berkaitan.

RASIONAL DASAR PENGGUNA NEGARA

Dasar Pengguna Negara (DPN) diperlukan sebagai prinsip dan panduan dalam menggubal undang-undang berkaitan perlindungan pengguna. DPN juga wajar digunakan dalam penggubalan mana-mana dasar ekonomi atau sosial negara. Dasar ini adalah asas kepada segala kegiatan kepenggunaan oleh Agensi Kerajaan, Persatuan Pengguna, badan bukan Kerajaan yang lain dan sektor swasta supaya perkembangan kepenggunaan yang lestari (sustainable) dapat dipupuk di negara ini.

DPN diperlukan dalam menghadapi kesan globalisasi terhadap pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan. Kepelbagaian barangan dan perkhidmatan serta kecanggihan teknologi kesan dari globalisasi mengubah aspek perundangan, ekonomi, strategi perdagangan dan sosial sesebuah negara.

DPN diperlukan bagi mewujudkan masyarakat pengguna yang mempunyai perlindungan kendiri iaitu bijak, bermaklumat, proaktif dah bertanggungjawab, mampu mempengaruhi aktiviti golongan pembekal/pengilang dan sensitif terhadap segala tingkahlakunya yang mempengaruhi keadaan ekonomi dan sosial negara.

DPN diperlukan bagi mewujudkan masyarakat pembekal/pengilang yang mempunyai kawalselia kendiri, iaitu bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesejahteraan pengguna.

DPN diperlukan bagi mencapai Wawasan Kerajaan dalam menggalakkan masyarakat pengguna dan pembekal/pengilang yang sentiasa prihatin dan berpengetahuan mengenai hak dan tanggungjawab masing-masing serta berganding bahu bagi mencapai kemakmuran negara seluruhnya.


OBJEKTIF
Tahap Perlindungan Pengguna Yang Terbaik

Memastikan tahap perlindungan pengguna yang terbaik dari segi perlindungan kendiri, kawalselia kendiri dan aspek perundangan. Dari perspektif perundangan, setiap undang-undang yang melibatkan pengguna hendaklah menyediakan peruntukan yang melindungi pengguna, tindakan yang munasabah terhadap kecurangan pembekal/pengilang dan sistem penyelesaian perundingan yang murah, mudah dan cepat.

Amalan Perdagangan Yang Saksama dan Bertanggungjawab

Menggalakkan amalan perdagangan yang saksama dan bertanggungjawab dalam segala aspek yang melibatkan pengguna khususnya dalam aspek pengeluaran, promosi, penentuan harga dan pemasaran barangan serta perkhidmatan yang dihasilkan oleh pembekal/pengilang supaya dapat memenuhi keperluan asas pengguna dan keselamatan pengguna serta menggalakkan pendekatan untung bersama dalam amalan perdagangan. Menggalakkan kawalselia kendiri dalam amalan perdagangan yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan pengguna.

Pendidikan

Memastikan pendidikan pengguna yang berterusan diberi keutamaan oleh sektor awam dan swasta dan diintegrasikan dalam aktiviti pendidikan formal dan tidak formal. Memberi pendidikan pengguna di kalangan pembekal/pengilang mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat sebagai usaha untuk melahirkan masyarakat yang adil dan harmoni.

Penggunaan Lestari Dalam Era Globalisasi

Meningkatkan usaha ke arah amalan penggunaan lestari (sustainable consumption) di kalangan pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan, untuk menjamin kesejahteraan dan kebajikan pengguna dalam era globalisasi dan liberalisasi perdagangan.

Hubungan Antara Pengguna, Pembekal/Pengilang Pengilang dan Kerajaan

Mengharmonikan hubungan pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan agar semua pihak mempunyai satu matlamat yang bersepadu iaitu mencapai perlindungan pengguna yang terbaik di bawah satu dasar iaitu DPN.

MATLAMAT DASAR PENGGUNA NEGARA

Meningkatkan Kebajikan dan Kesejahteraan Pengguna

Matlamat utama DPN ialah untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan pengguna supaya menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan berupaya melaksanakan hak pengguna untuk memilih dan bersuara. Meningkatkan keseimbangan kuasa berunding, maklumat yang sahih dan mencukupi, serta keseimbangan kualiti/pulangan antara pengguna dengan pembekal/pengilang.

Meningkatkan Kesejahteraan Sosio-Ekonomi

Mewujudkan dan menjamin kesejahteraan sosio-ekonomi di kalangan anggota masyarakat melalui amalan perdagangan yang bertanggungjawab berasaskan kepada hak-hak dan kepentingan pengguna iaitu hak untuk mendapatkan keperluan asas, membuat pilihan, mendapat maklumat, gantirugi, keselamatan, menyuarakan pendapat, mendapat pendidikan pengguna dan hidup dalam alam sekitar yang menjamin kesihatan.

Meningkatkan Amalan Penggunaan Lestari

Meningkatkan amalan penggunaan lestari dalam mengurus sumber-sumber yang terhad untuk menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial. Penggunaan lestari menggalakkan berbelanja dengan berhemat, menggunakan sumber semulajadi dan kemudahan asas seperti air dan tenaga dengan berhemat, serta memelihara kesejahteraan dan kebajikan pengguna generasi semasa dan generasi akan datang.

STRATEGI
Strategi-strategi berikut boleh dilaksanakan bagi tujuan pencapaian objektif-objektif yang telah ditetapkan:-

Tahap Perlindungan Pengguna Yang Terbaik

SOSIAL

Meningkatkan Kualiti Kehidupan

Taraf kepenggunaan berkait rapat dengan taraf kualiti kehidupan. Faktor-faktor yang menyumbang dalam peningkatan taraf kualiti kehidupan termasuklah kemudahan asas yang mencukupi, perumahan yang mencukupi, kemudahan kesihatan yang mampu dinikmati oleh semua golongan masyarakat, jaminan makanan yang berzat, kemudahan pendidikan seperti sekolah dan perpustakaan kepada semua golongan masyarakat, serta kemudahan teknologi maklumat yang kesemuanya memainkan peranan penting dalam mencapai penggunaan lestari. Peningkatan kualiti kehidupan memerlukan kerjasama dan permuafakatan pihak Kerajaan, sektor swasta dan pengguna. Pihak Kerajaan hendaklah mengambilkira faktor-faktor di atas dalam penggubalan dasar-dasar Kerajaan dan menyediakan infrastruktur yang mencukupi. Pihak swasta hendaklah mengambilkira faktor-faktor di atas dalam penghasilan/pengeluaran barangan dan perkhidmatan dan pengguna perlu bertanggungjawab untuk memastikan kualiti kehidupan kepada taraf terbaik.

Meningkatkan Perlindungan Kendiri

  • Mewujudkan badan khas yang bebas untuk mengendalikan isu-isu kepenggunaan yang dianggotai oleh pihak Kerajaan, pengguna dan pembekal/pengilang.
  • Mewujudkan pusat maklumat pasaran yang lengkap berkenaan barangan dan perkhidmatan di setiap daerah.

Meningkatkan Sokongan dan Bantuan Terhadap Pergerakan Kepenggunaan

Kemajuan dan keberkesanan pergerakan pengguna berkait rapat dengan sokongan masyarakat, kedudukan kewangan, keberkesanan tenaga penggerak yang mengendalikan gerakan kepenggunaan dan sokongan Kerajaan. Kekurangan sokongan dari masyarakat, kedudukan kewangan yang tidak kukuh dan kelemahan dalam pengurusan organisasi menyebabkan aktiviti pergerakan kepenggunaan tidak dapat dilaksanakan dengan memuaskan. Oleh itu, Kerajaan perlu meneruskan sokongan terhadap pergerakan pengguna dan aktiviti-aktiviti kepenggunaan. Sumbangan dan sokongan yang diberikan sudah tentu dapat membantu persatuan dalam usaha mempertingkatkan lagi aktiviti-aktiviti kepenggunaan.

Menggalakkan Penyertaan Persatuan Pengguna Dalam Pembentukan dan Perlaksanaan Program Agensi Kerajaan Di Peringkat Negeri dan Daerah

Menggalakkan penyertaan Persatuan Pengguna dalam pembentukan dan perlaksanaan program kepenggunaan di peringkat negeri dan daerah. Persatuan Pengguna boleh menjadi saluran utama untuk pengguna mengemukakan aduan dan pandangan dengan lebih cepat dan berkesan untuk tindakan sewajarnya, contohnya melalui penyertaan dalam jawatankuasa tertentu diperingkat Agensi Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan.

PERUNDANGAN

Pemantapan Undang-Undang Perlindungan Pengguna

Kerajaan hendaklah terus memainkan peranan untuk melindungi dan mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan pembekal/pengilang. Dalam hubungan ini, Kerajaan perlu:-

  1. Memantapkan lagi penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan agensi penguatkuasaan di Kemeteriannya supaya tindakan yang berkesan dapat dilaksanakan. Penguatkuasaan boleh dibantu oleh Persatuan Pengguna.
  2. Meminda undang-undang yang sedia ada dari masa ke semasa dengan mengenakan tindakan sivil dan jenayah yang setimpal untuk mengawal kegiatan-kegiatan perdagangan yang tidak bertanggungjawab.
  3. Menggubal undang-undang baru dengan mengambilkira kesan globalisasi, liberalisasi perdagangan dan penggunaan lestari.
  4. Memastikan setiap undang-undang yang berkait dengan pengguna mengandungi peruntukan yang menjamin kebajikan dan kesejahteraan pengguna.

Secara umumnya, dasar kepenggunaan negara untuk setiap individu rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat adalah berpandukan kepada falsafah kepenggunaan dan kesedaran oleh setiap individu tersebut menengenai tanggungjawab sebagai seorang pengguna di Malaysia.

Antara falsafah umum kepenggunaan ialah:

  1. Mewujudkan sifat berdikasi di kalangan para pengguna iaitu " - "Perlindungan Paling Berkesan Ialah Perlindungan Sendiri."
  2. Mewujudkan pembangunan berorientasikan kepada menunaikan keperluan asas manusia melalui kuasa beli kita sebagai pengguna bagi mewujudkan satu kebudayaan hidup yang sesuai, bahagian dan tidak membazir

Para pengguna bolehlah merujuk kepada senarai di bawah samaada mereka mempraktikkkan tanggungjawab mereka sebagai pengguna atau tidak walaupun tanpa disedari:

  1. Kesedaran untuk mengkritik
    Pengguna mestilah mempunyai kesedaran untuk mengkritik jika berlaku sebarang penyalahgunaan atau penyelewengan terhadap hak-hak pengguna.
  2. Penglibatan dan tindakan
    Pengguna mesti terlibat dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak-hak pengguna dilayani dengan adil.
  3. Tanggungjawab sosial
    Pengguna mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran terhadap masyarakat supaya tindak-tanduk yang diambil tidak menimbulkan kesulitan yang lebih besar.
  4. Bersatu padu
    Pengguna mesti bersatu dan bekerjasama dalam tindakan agar kepentingan mereka tidak mudah digugat.

MySWITCH 2017